Qubbat As-Sakhrah
Kubah Batu (B. Arab: قبة الصخرة Qubbaṯ al-Ṣakhraṯ, B. Ibrani: כיפת הסלע Kipat Hasela, B. Turki: Kubbetüs Sahra B. Inggeris: Dome of the Rock) ialah antara seni binaan Islam yang tercantik di dunia. Qubbat As-Sakhrah bukanlah sebuah masjid sebaliknya ialah sebuah kompleks yang terdapatnya sebuah batu besar yang dikatakan tempat Nabi Muhammad S.A.W berdiri ketika peristiwa Israk Mikraj. Qubbat As-Sakhrah terletak di Baitulmuqaddis di kawasan Al Haram Al Sharif. Qubbat As-Sakhrah bukanlah Masjid Al-Aqsa kerana Masjid Al-Aqsa terletak tidak jauh daripada bangunan ini. Qubbat Al-Sakhrah seringkali disalahertikan sebagai Masjid Umar yang merupakan tempat Saidina Umar Al-Khatab bersolat ketika tiba di Baitulmuqaddis. Berbanding dengan rumah-rumah ibadat yang lain, Qubbat As-Sakhrah yang paling dikenali sebagai simbol Baitulmuqaddis yang menjadikannya istimewa.
Perlu diingatkan bahawa bukan sahaja Masjid Al-Aqsa yang suci kepada umat Islam tetapi Qubbat As-Sakhrah dan kawasan sekitarnya juga adalah suci kerana ia terdapat di dalam Al Haram Al Sharif. Keseluruhan kawasan Al Haram Al Sharif ini ialah Masjidil Aqsa dan bukannya Masjid Al-Aqsa sahaja kerana bangunan Masjid Al-Aqsa dibina selepas penaklukan Baitulmuqaddis oleh tentera Islam. Masjid Al-Aqsa hanyalah mengambil sempena nama Masjidil Aqsa di dalam Al Quran.
Sebuah kumpulan radikal Yahudi di Israel ingin memusnahkan Qubbat As-Sakhrah dan bangunan-bangunan lain di Al Haram Al Sharif bagi membina kuil ketiga Yahudi di kawasan terbabit. Sebarang rancangan untuk memusnahkannya atau memindahkannya pasti akan menimbulkan kemarahan umat Islam sehingga boleh membawa kepada konflik dan perperangan.
Israk Mikraj
Pada tahun kesembilan misi Rasulullah s.a.w., lebih kurang tahun 620 masihi, Nabi Muhammad berjaga pada waktu malam untuk melakukan ibadah di Masjidil Hram,Makkah. Selepas beribadat, baginda tertidur seketika dekat Kaabah. Malaikat Jibril datang mengejutkan Rasulullah daripada tidur dan membawa baginda ke hujung Masjidil Haram. Menanti mereka ialah sejenis makhluk yang bernama Al Buraq. Rasulullah kemudiannya menaiki Al Buraq yang kemudian membawa baginda ke Masjid Al-Aqsa diBaitulmuqaddis dalm sekelip mata.Apabila tiba di Baitulmuqaddis, Rasulullah turun daripada Al Buraq dan bersembahyang dekat sebuah batu. Nabi Ibrahim a.s, Nabi Musa a.s,Nabi Isa a.s dan nabi-nabi yang lain berkumpul bersama dan bersolat bersama-sama baginda. Nabi Muhammad s.a.w. dipersembahkan semangkuk arak dan semangkuk susu. Rasulullah s.a.w. memilih susu. Malaikat Jibril a.s kemudiannya berkata "Ternyata engkau telah memilih ajaran yang sebenar". Rasulullah kemudiannya naik ke langit untuk menerima perintah menunaikan solat kepada umat Islam.Penaklukkan Baitulmuqaddis
Pada tahun 638 masihi, selepas beberapa tahun kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., tentera Islam mengepung Baitulmuqaddis. Ketua Gereja Baitulmuqaddis, Sophronius, menyerahkan kota itu selepas kepungan yang singkat. Cuma terdapat satu syarat iaitu perbincangan mengenai penyerahan itu mestilah menerusi Khalifah Saidina Umar Al Khatab sendiri, khalifah kedua Islam.
Saidina Umar memasuki Baitulmuqaddis dengan berjalan. Tidak ada pertumpahan darah dan tidak ada pembunuhan oleh tentera Islam. Sesiapa yang ingin meninggalkan Baitulmuqaddis dengan segala harta benda mereka, dibenarkan berbuat demikian. Sesiapa yang ingin terus tinggal dijamin keselamatan nyawa, harta benda, dan tempat beribadat mereka. Semua ini terkandung dalam Perjanjian Umariyya.
1)Ruang dalaman Qubbat As Sakhrah. 2)Qubbat As Sakhrah yang sebenar.
Pembinaan
Dalam tahun 630, beberapa tahun sebelum Qubbat As-Sakhrah dibina, Umar ibn al-Khattāb dibantu oleh Kaab al-Ahbar dan orang Islam yang lain memulihkan batu-batu asas dan menggali ia keluar daripada debu dan membersihkan kawasan yang telah ditinggalkan untuk beratus tahun sejak dimusnahkan oleh tentera Rom. Ibn Asakir menyatakan yang Saidina Umar Al-Khatab tidak pernah membina apa-apa rumah ibadat untuk orang Islam bersembahyang tetapi memilih untuk mendirikan sbuah masjid di kawasan selatan Al Haram Al Sharif. Saidina Umar berbuat demikian bagi menjelaskan bahawa kiblat terletak di bahagian selatan, ke arah Kaabah di Mekah dan bahawa orang Islam tidak pernah berbalah dalam menentukan arah kiblat. Kawasan batu asas kekal tidak terbongkar sehinggalah masa khalifah Abdul Malik bin Marwan yang memulakan pembinaan dalam tahun 685, menyiapkannya dalam tahun 691.
Kekeliruan Mengenai Qubbat As Sakhrah
Qubbat As-Sakhrah seringkali dianggap sebagai Masjid Umar yakni tempat Saidina Umar Al-Khatab bersembahyang ketika ditawarkan bersembahyang di gereja besar Kristian. Anggapan ini salah kerana Qubbat Al-Sakhrah dan Masjid Umar ialah dua bangunan yang berbeza.
Qubbat As-Sakhrah juga sentiasa dianggap sebagai Masjid Al-Aqsa. Walaupun Qubbat Al-Sakhrah terletak di Al Haram Al Sharif namun ia bukanlah Masjid Al-Aqsa. Masjid Al-Aqsa terletak tidak jauh daripada Qubbat Al-Sakhrah.